Berita Utama

COVID-19 meningkat, netizen ‘sakit hati’ politikus tak patuh SOP!

‘Di Malaysia, rakyat pening sebab menteri degil tak nak ikut SOP’

BANGI, 14 Safar 1442H, Jumaat – Angka kes COVID-19 yang saban hari mencatatkan kenaikan ketara kini mula menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Lebih membimbangkan, jumlah kes mencanak naik selepas pulangnya ahli-ahli politik serta jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pada minggu lalu ke Semenanjung Malaysia dan membawa balik wabak yang boleh menyebabkan maut itu.

Tambahan pula, kes baharu COVID-19 hari ini, direkodkan sebanyak 287 kes, menjadikan jumlah kes harian tertinggi dicatatkan di negara ini semenjak wabak itu mula menular dalam negara.

Kini, keseluruhan kes mencecah hingga 11,771 dengan kes aktif sebanyak 1,540.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pula dilaporkan berkata, penularan wabak itu di luar kawalan SPR walaupun pelbagai SOP diperkenalkan bagi mengekang virus terbabit.

Netizen, bagaimanapun meluahkan rasa kecewa terhadap situasi terkini dan menolak jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau pun mana-mana pihak mendakwa rakyat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kami sebagai rakyat kami patuhi SOP, pak-pak menteri tu yang tak patuhi. Siapa salah sekarang ni? Maaf cakap, kami rakyat sangat-sangat kecewa dengan tindakan menteri-menteri sendiri yang tak patuhi SOP,tak kuarantin, jadi salah rakyat lagi ke?,” soal @EmyFarisha di laman Twitter.

Manakala, pengguna Twitter bernama Amirul @amyrul_ pula berkata, rakyat memang mematuhi SOP yang telah ditetapkan KKM sebelum ini.

“Berbulan kami keluar rumah tiada pula kes COVID-19 naik mencanak. Ini ahli politik berkempen berapa hari terus naik gila. Siapa yang tak patuh SOP ini? Asyik-asyik yang miskin sahaja yang salah,” luahnya.

Syahir Sarkawi @mrsyhir pula berkata, selama PKPP berjalan, keadaan kes dalam negara sangat terkawal.

Pun begitu, katanya lagi, keadaan berubah setelah berlangsungnya PRN di Sabah, baru-baru ini.

“Dah berapa lama PKPP, elok je kes terkawal siap ada yang 0 kes. PRN Sabah terus jadi macam ini…. Gila kuasa punya pasal,” katanya.

Berkongsi pandangan yang sama, pengguna Twitter dengan nama Ibnu Ahmad berkata, sejak PKPP orang ramai telah mula lakukan aktiviti seperti biasa, namun kes tidak naik dengan teruk sebab ramai yang patuh SOP. 

“Tapi lepas kes menteri tak kuarantin, tiada SOP ketat masa kempen PRN Sabah, yang balik dari zon merah Sabah tak wajib kuarantin, terus kes naik,” katanya.

Turut memberi sindiran kepada pihak atasan, ciapan pengguna bernama Fadhil @FadhQuadra mendapat lebih 70,500 ulang ciapan dan 56,600 tanda suka.

“Dekat Indonesia, menteri pening sebab rakyat degil taknak ikut SOP. Dekat Malaysia, rakyat pening sebab menteri degil taknak ikut SOP,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button