Berita Utama

Pengundi bukan Melayu tidak perlu takut dengan PAS

Lihat pentadbiran di Kelantan, orang Cina-India hidup aman seperti biasa

BANGI, 22 Safar 1445H, Jumaat – Pengundi bukan Melayu di Johor perlu mengetepikan sentimen ketakutan terhadap Perikatan Nasional (PN), terutama PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, esok.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ketakutan itu sepatutnya dialihkan kepada golongan perompak dan individu yang tidak jujur dalam memimpin negara.

Beliau menyeru pengundi bukan Melayu untuk melihat pentadbiran PAS di Kelantan selama lebih empat dekad, di mana masyarakat berbilang kaum dapat menjalani kehidupan seperti biasa, malah tidak terpalit kes rasuah membabitkan pimpinan kerajaan negeri itu.

“Sekarang di Kedah, Perlis tidak ada satu pun amalan rasuah dan salah guna kuasa yang telah dilakukan oleh PN khususnya PAS di negeri Kelantan dan juga Terengganu.

“Orang-orang Cina dan India juga hidup aman, makmur dan harmoni di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka boleh lakukan di dua buah negeri ini, insya-Allah calon PN di Simpang Jeram dan juga di Pulai pastinya akan berpegang kepada prinsip dan idealisme,” katanya dalam ceramah Grand Finale PN Simpang Jeram, malam tadi.

Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu menegaskan, perjuangan PN adalah jelas untuk mengangkat martabat umat dan seluruh bangsa Malaysia di negara ini.

Bukan setakat itu, beliau berkata, PN sudah diuji dan teruji berjaya menguruskan negara, meskipun berdepan situasi tidak terjangkau seperti pandemik COVID-19.

Katanya, pengiktirafan Bank Dunia terhadap kedudukan tertinggi Malaysia di Asia Tenggara dalam menangani COVID-19 adalah bukti kemampuan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin menjaga kepentingan semua kaum.

“Kita bersyukar kerana PN telah diuji dan kita teruji, kalau dalam keadaan unprecedented (belum pernah berlaku sebelum ini) pun berjaya menguruskan ekonomi dengan baik, menyelamatkan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button