Dunia

Letupan Beirut: Lubnan keluar waran tangkap 2 warga Russia

Minta bantuan Intepol tangkapan kapten, pemilik kapal bawa amonium nitrat

BEIRUT, 14 Safar 1442H, Jumaat – Pasukan penyiasat utama tragedi letupan di pelabuhan Beirut pada Ogos lalu, telah mengeluarkan waran tangkap ke atas kapten dan pemilik kapal yang membawa ribuan tan amonium nitrat ke ibu negara itu kira-kira tujuh tahun lalu, lapor agensi berita nasional, NNA.

Hampir 2,700 tan amonium nitrat yang disimpan di pelabuhan Beirut didakwa menjadi punca insiden letupan pada 4 Ogos lalu, sehingga mengorbankan hampir 200 nyawa dan ribuan yang lain cedera. 

Khamis lalu, Hakim Fadi Sawwan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak pendakwaan negara untuk meminta Interpol menahan kedua-dua individu warga Russia itu. 

Meskipun NNA tidak menyatakan nama dua lelaki terbabit, tetapi individu bernama Boris Prokoshev adalah kapten yang bertugas membawa MV Rhosus dari Turki ke Beirut pada 2013. 

Sementara, seorang ahli perniagaan Russia, Igor Grechushkin yang menetap di pulau Cyprus, didakwa membeli kapal kargo itu pada tahun 2012. 

Difahamkan, Grechushkin pernah disoal siasat oleh polis atas permintaan Interpol Lubnan pada Ogos lalu. 

Lebih 20 individu – kebanyakannya pegawai pelabuhan dan kastam – telah ditahan sejak letupan terbesar tanpa membabitkan nukleur itu berlaku. 

Ribuan amonium nitrat itu tiba di Lubnan pada September 2013, yang dibawa dengan kapal kargo milik Russia sebelum disimpan di Hangar 12 pelabuhan Beirut. 

Insiden letupan itu semakin merumitkan Lubnan yang berdepan krisis terburuk sejak perang saudara 1975-1990, di tambah dengan masalah ekonomi, hutang, rasuah dan wabak pandemik COVID-19. 

Sehingga kini juga, Lubnan masih belum membuka semula sesi persekolahan berikutan peningkatan kes setiap hari sehingga mencecah 35,000 dan 340 kematian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button