Dunia

Palestin diambang pilihan raya

Tunggu capai kata sepakat dengan puak lain sebelum umum tarikh

RAMALLAH, 14 Safar 1442H, Jumaat – Presiden Mahmoud Abbas mengumumkan bahawa pilihan raya di Palestin akan diputuskan setelah perjanjian dengan puak-puak di negara itu dicapai, lapor agensi berita WAFA.

Abbas membuat pengumuman itu ketika perbincangan telefon dengan wakil tertinggi Kesatuan Eropah (EU) bagi tujuan urusan luar negeri dan keselamatan, Josep Borrell.

Beliau berkata, tarikh untuk mengadakan pemilihan Parlimen dan Presiden akan dimaklumkan kelak, selepas kesepakatan dicapai dengan puak Palestin termasuk Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Menurut WAFA, Abbas pada masa sama turut berkongsi bersama Borrell mengenai perkembangan semasa politik di rantau itu dan bersiap sedia mengadakan persidangan antarabangsa untuk perdamaian Timur Tengah tahun ini.

Sebelum ini, sumber rasmi Palestin mendakwa, Abbas akan mengadakan pertemuan secara atas talian dengan wakil 14 puak Palestin untuk mengumumkan perjanjian pendamaian, yang turut meliputi penetapan tarikh mengadakan pilihan raya umum Palestin.

Kali terakhir rakyat Palestin mengadakan pemilihan Presiden adalah pada tahun 2005, di mana Abbas menggantikan Yasser Arafat.

Pada tahun 2006, Hamas memenangi pilihan raya Parlimen yang diadakan di wilayah Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button