Berita Utama

Pemimpin Cina perlu sedar diri, usah buat tuntutan tak munasabah

Hajiji dinasihat utamakan rakan sekutu politik dulu: Penganalisis politik

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 14 Safar 1442H, Jumaat – Pemimpin pertubuhan Cina sepatutnya tahu bahawa majoriti kaum itu di Sabah menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan), kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

Manakala, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula menang dengan sokongan padu Bumiputera Islam dan bukan Islam.

Atas sebab itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, pemimpin-pemimpin masyarakat Cina sepatutnya menyedari hakikat ini dan tidak membuat tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah – seperti meminta jawatan menteri dan kedudukan dalam Kabinet.

Beliau menegaskan, kerajaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor, perlu mengutamakan rakan sekutu politik mereka terlebih dahulu.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan GRS juga tidak akan meminggirkan kaum Cina kerana mereka sedia maklum akan kepelbagaian etnik yang wujud di Sabah.

“Sudah pasti kerajaan Hajiji tidak akan melupakan masyarakat Cina. Mereka tetap akan dilayan dengan adil dan saksama, walaupun orang Cina tidak mempunyai jawatan dalam Kabinet negeri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Pengurus Sekolah Cina Malaysia Sabah (Dong Zong Sabah) menggesa pelantikan menteri berketurunan Cina dalam Kabinet Sabah yang baharu dibentuk.

Pengerusinya, Datuk Jimmy Yong Kyok Ming bimbang jika masyarakat Cina tidak akan mempunyai saluran untuk menyampaikan isu-isu yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Cina dan masyarakat itu kepada kerajaan negeri sekiranya Kabinet negeri tidak mempunyai wakil dari kaum berkenaan.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Mazlan berkata, tingkah laku pemimpin masyarakat Cina ini menunjukkan sikap yang tidak terbuka.

“Saya berpendapat, jika tiada wakil dalam Kahinet negeri Sabah tidak semestinya masyarakat Cina tertindas.

“Kerajaan masih boleh membantu mereka melalui wakil-wakil rakyat yang mewakili mereka di kawasan-kawasan majoriti masyarakat Cina,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button