Berita Utama

Pengumuman KPT terlalu lewat, ramai pelajar terkesan: Pembina

Bantu mereka yang telah keluarkan kos pengangkutan, yuran kolej

BANGI, 14 Safar 1442H, Jumaat – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) menyokong kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KOT) berkenaan penangguhan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar IPT bagi kemasukan Oktober 2020. 

Bagaimanapun, Presiden Pembina, Wafiq Azman berkata, kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu agak terlalu lewat dan tidak semua maklumat diterima mahasiswa.

Keadaan ini menyebabkan ramai individu yang terkesan, katanya.

“Daripada pemerhatian kami, antara individu yang terkesan termasuklah mahasiswa yang telah membuat pembayaran yuran kolej atau sewa rumah, telah membeli tiket penerbangan untuk pulang ke kampus (termasuk bas, keretapi).

“Bahkan ada juga individu yang diarahkan pulang semula ke rumah masing-masing walaupun sudah tiba di kampus. 

“Ia sememangnya menyusahkan para pelajar lebih-lebih lagi mereka baharu sahaja menempuh suasana baharu alam kampus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Pembina mencadangkan supaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar mengenal pasti dan mendapatkan data serta butiran pelajar untuk membantu individu yang terkesan.

Beliau berkata, pihak berautoriti perlu membantu mahasiswa yang telah mengeluarkan kos pembelian seperti pengangkutan, yuran kolej dan sewa rumah yang telah dibuat.

Selain itu, tabung kecemasan mahasiswa juga perlu diwujudkan bagi membantu mahasiswa B40 yang telah mengeluarkan duit untuk pulang ke kampus dan sedang berada di kampus.

“IPT juga perlu membenarkan pelajar yang telah pulang dengan lebih awal untuk menetap di kolej kediaman.

“Mahasiswa yang sedang berada di IPT disarankan mendapatkan berita dan makluman yang sahih dari pihak MPP atau IPT sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Pembina menggesa semua pihak untuk kekal patuh pada SOP yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Semoga negara akan kembali pulih pada keadaan yang lebih terkawal,” katanya.

Terdahulu, KPT mencadangkan semua IPT menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.

KPT memaklumkan, keputusan itu perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

“Semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button