Trump, isteri disahkan positif COVID-19
Sebelum ini Presiden AS perlekeh tahap keseriusan pandemik coronavirus

KUALA LUMPUR, 14 Safar 1442H, Jumaat – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini berkata, beliau dan isterinya, Melania Trump, didapati positif COVID-19.
Dalam akaun Twitternya, Trump mengatakan beliau dan isteri akan menjalani kuarantin.
“Malam ini, @FLOTUS (Melania Trump) dan saya positif COVID-19. Kami akan segera memulakan proses pemulihan dan kuarantin. Kami akan dapat mengharunginya BERSAMA!,” tulis Trump di Twitter.
Terdahulu, Trump menerusi Twitter mengesahkan seorang daripada pembantunya Hope Hicks disahkan dijangkiti COVID-19, lapor Xinhua.
Hicks, 31, mengiringi presiden semasa dalam penerbangan untuk menghadiri kempen di Minnesota pada Rabu.
Trump, selama berbulan-bulan sebelum ini telah mengabaikan keseriusan virus itu dan kini beliau akan dikuarantin di White House untuk jangka waktu yang tidak dipastikan, menyebabkan beliau perlu menarik diri sekurang-kurangnya sementara waktu daripada menjalankan kempen sebelum pilihan raya pada 3 November.
White House bagaimanapun tidak menyatakan berapa lama Trump harus dikuarantin, tetapi ia membatalkan rancangannya untuk terbang ke Florida bagi mengadakan kempen pada hari ini.
Penampilan di perhimpunan di Wisconsin pada hari Sabtu dan di Arizona pada hari Isnin juga nampaknya akan dibatalkan, dan perdebatan berikutnya, yang dijadualkan pada 15 Oktober di Miami, juga masih menjadi tanda tanya. – Agensi