Berita UtamaDunia

Angka kematian rakyat Palestin meningkat kepada 1,100

Israel sasar zon komersial, kawasan perumahan dan kem pelarian

GAZA, 26 Rabiulawal 1445H, Khamis – Angka kematian akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza terus meningkat – sekurang-kurangnya 1,100 rakyat Palestin, termasuk 326 kanak-kanak telah terbunuh dalam lebih lima hari pengeboman Zionis di wilayah yang dikepung.

Kementerian Kesihatan Gaza juga mengesahkan, sekurang-kurangnya 5,339 telah cedera, dengan berpuluh-puluh rakyat Palestin kehilangan nyawa mereka dalam serangan baharu sejak beberapa jam lalu.

Israel terus menyasarkan zon komersial, kawasan perumahan dan kem pelarian Gaza pada hari Rabu.

Agensi berita rasmi Palestin WAFA melaporkan bahawa pesawat Israel mengebom pangsapuri kediaman serta sebuah pelabuhan di barat Kota Gaza dengan sejumlah besar roket dan peluru.

Pengeboman itu memusnahkan sejumlah besar bangunan dan menyebabkan kecederaan sehingga penduduk dipindahkan  segera ke Hospital al-Shifa di barat bandar itu.

Dalam pada itu, Bulan Sabit Merah Palestin berkata, empat paramedik Bulan Sabit Merah Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel. 

Mereka maut apabila serangan ‘secara langsung menyasarkan ambulans’ Bulan Sabit Merah di utara Gaza, dan yang keempat dalam serangan berasingan di timur wilayah yang dikepung.

Sementara itu, agensi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang beroperasi di Semenanjung Gaza memaklumkan, 11 pekerjanya telah terbunuh oleh serangan udara Israel di wilayah Palestin yang padat sejak Sabtu.

“Kami sangat sedih untuk mengesahkan bahawa 11 rakan sekerja UNRWA telah terbunuh sejak 7 Oktober di Semenanjung Gaza,” kata Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), dalam satu kenyataan.

Ini termasuk lima guru di sekolah UNRWA, seorang pakar sakit puan, seorang jurutera, seorang kaunselor psikologi dan tiga kakitangan sokongan, katanya.

“Ada yang terbunuh di rumah mereka bersama keluarga. UNRWA meratapi kehilangan ini dan berduka dengan rakan sekerja kami dan keluarga,” katanya.

Menurut UNRWA, sekurang-kurangnya 20 kemudahannya di Gaza telah rosak akibat serangan itu, termasuk dua sekolah.

Di bahagian lain dalam kenyataan itu, UNRWA juga berkata hampir 175,500 orang pelarian dalaman berlindung di 88 sekolahnya di seluruh Gaza.

“Jumlahnya terus meningkat apabila serangan udara berterusan daripada Tentera udara Israel,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button