Pendapat

Cabaran keperlembagaan terhadap sekolah vernakular

Penggunaan bahasa pengantar selain dari bahasa kebangsaan

WAHAI rakyat Malaysia yang prihatin,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera:

1. Pada 16.12.2019 firma guaman Amelda Fuad Abi & Adil telah memfailkan satu tindakan guaman di  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pihak dua pertubuhan NGO, iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) yang memohan untuk penganugerahan  pengisytiharan/deklarasi antara lain bahawa:

(a) kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang menggunakan bahasa pengantar Cina dan Tamil sebagai melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang sepatutnya menjadi bahasa pengantar di kesemua sekolah,
(b) peruntukan Seksyen 2, 18 dan 27 di bawah Akta Pendidikan 1996 yang kononnya membolehkan penubuhan sekolah vernakular, sebagai satu peruntukan Akta yang tidak sah di sisi Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan, dan
(c) Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia wajib mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan sekolah vernakular mematuhi Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh enam tahun dari tarikh keputusan Mahkamah.

2. Pada 09.03.2020, tindakan guaman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah ditetapkan untuk bicara permohonan pencelahan, di mana mahkamah telah dimaklumkan ada 14 pihak yang berhasrat untuk mencelah dan menjadi pihak dalam tindakan guaman ini iaitu:

(i) Parti Gerakan;
(ii) Parti MCA;
(iii) Parti MIC;
(iv) Majlis Bahasa Cina Malaysia;
(v) Persatuan Tamil Neri;
(vi) Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil;
(vii) Jiao Zong;
(viii) Dong Zong;
(ix) Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur; (x) Gabungan Penulis Nasional;
(xi) Persatuan Thamizar Malaysia;
(xii) Persatuan Tamilar Thirunal Perak;
(xiii) Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil Malaysia; dan
(xiv) Parti Putra.

3. Kedua-dua GPMS dan MAPPIM telah mengambil pendirian untuk tidak membantah pihak-pihak yang tersebut itu untuk mencelah dalam tindakan ini, tertakluk kepada syarat bahawa mereka hendaklah dinamakan sebagai Pencelah-Pencelah, dan bukan dinamakan sebagai Defendan-Defendan, di mana alasan untuk tidak membantah, kerana GPMS dan MAPPIM adalah berpandangan bahawa isu yang diutarakan dalam kes ini adalah bekepentingan awam dan melibatkan persoalan perlembagaan berkenaan bahasa dan perpaduan, justeru penglibatan mana-mana pihak yang merasakan dirinya turut berkepentingan, adalah dialu-alukan.

4. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah pada asalnya menetapkan 21.05.2020 jam 2.30 petang untuk mendengar hujahan lanjut oleh kesemua pihak, berkenaan permohonan para pencelah tersebut.

5. Setelah penangguhan “terpaksa” disebabkan pematuhan PKP yang ada ketika itu, tatkala musim COVID-19, tarikh BICARA berkenaan permohonan para pencelah tersebut telah kemudian ditetapkan secara awalannya pada 11.09.2020, pada tarikh mana terdapat beberapa perkembangan dalam dua lagi saman yang difailkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA); dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru), yang mana melibatkan kausa tindakan dan isu yang sama, dan oleh itu sebutan permohonan para pencelah tersebut telah ditetapkan pada hari Jumaat 02.10.202 untuk Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan perkembangan lanjut sebelum penetapan mana-mana tarikh BICARA untuk mana-mana permohonan yang perlu.

6. Pada hari Jumaat 02.10.2020 tersebut antara perkembangan yang dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang relevan direkodkan untuk pengetahuan penuh tindakan guaman ini adalah:

a. Satu lagi kes lain yang difailkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) juga di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang lain telah dipindahkan ke mahkamah ini dan untuk didengar secara bersesama dengan tindakan guaman GPMS dan MAPPIM di mahkamah ini. 
b. Kes satu lagi yang difailkan oleh I-Guru di Mahkamah Tinggi Kota Bharu sedang menanti penyelesaian Permohonan Pejabat Peguam Negara untuk dipindahkan di MAHKAMAH yang sama ini untuk juga didengar secara bersesama dengan tindakan guaman GPMS dan MAPPIM di mahkamah ini,
c. Pihak GPMS dan MAPPIM berhasrat untuk memfailkan satu lagi Permohonan untuk pengecualian hakim di mahkamah ini dari mendengar mana-mana prosiding ataupun bicara akan tindakan Guaman GPMS dan MAPPIM ini, disebabkan kenyataan jujur dan terhormat hakim mahkamah ini pada 11.09.2020 akan kekurangan penguasan bahasa lisan Bahasa Melayu disebabkan latarbelakang pembesaran dan pembelajaran beliau.

7. Hatta, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menangguhkan tindakan guaman GPMS dan MAPPIM ini untuk sebutan lanjut pada jam 2.45 petang pada hari Jumaat 04.12.2020 kelak untuk membenarkan segala proses yang dinyatakan di Perenggan 6 di atas dapat dilaksanakan.

8. Manakala selaku Plaintif, GPMS dan MAPPIM menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga, sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan, atau mana-mana sahaja bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea, dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa tersebut sebagai satu mata pelajaran, tetapi menolak mana-mana bahasa asing tersebut daripada dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam, kerana hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

9. Ianya adalah diharapkan isu keperlembagaan berkaitan sekolah vernakular ini dapat diselesaikan di medan mahkamah dengan baik dan secara sihat, supaya perkara yang menjadi antara sebab yang mewujudkan kemelut perpaduan negara ini dapat diselesaikan melalui keputusan mahkamah secara muktamad dan sekaligus kelak.

10. Laporan media prosiding di mahkamah berkaitan tindakan GPMS dan MAPPIM ini adalah seperti yang dilaporkan FREE MALAYSIA TODAY 02.10.2020 bertajuk “2 groups seek to remove judge in suit over vernacular schools”, dan dimuat naik di Ruang Bawah, untuk kemudahan rujukan semua.

BERANI KERANA BENAR!
DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!

(Sila lihat Siri : 1794, 1901, 1907, 1921, 1950, 1974 & 2204) – Cabaran terhadap Sekolah Vernakular

Peguam
Haniff Khatri Abdulla

Artikel asal disiarkan di Facebook  Haniff Khatri Abdulla

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button