Berita Utama

Jangan peduli gesaan pihak tamak kuasa

Berada di DUN pembangkang bukan bermakna kebajikan tak dijaga

BANGI, 15 Safar 1442H, Sabtu – Kerajaan negeri Sabah perlu bergerak ke depan dan mengabaikan gesaan tidak berasas daripada Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS).

Sebelum ini, FCAS menggesa kerajaan negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencalonkan beberapa wakil dari kaum Cina untuk diletakkan ke dalam Kabinet baharu negeri itu.

Presidennya, Tan Sri TC Goh berkata, perkara itu wajar dan perlu dilakukan supaya Kabinet negeri mempunyai perwakilan berbilang kaum, selain mencerminkan keprihatinan kerajaan ke atas masyarakat Cina.

Goh yang juga Presiden Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) memberi alasan bahawa ADUN dari kaum Cina hanya mewakili kem pembangkang, manakala tiada ADUN dari kaum sama mewakili pemerintah, susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lalu.

Membidas gesaan itu, pemerhati politik, Ir Lukman Al-Hakim Muhammad menyifatkan FCAS tidak tahu malu dan tamak kuasa.

“Sudah jelas lagi terang bahawa rakyat Cina Sabah telah memilih dan menyokong penuh parti DAP yang gagal membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan Plus, jadi kenapa kita perlu meraikan mereka lagi?

“Berada di kawasan DUN pembangkang tidak bermakna hasrat dan kebajikan mereka tidak akan terjaga langsung,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata, ADUN yang diberi mandat oleh pengundi Cina Sabah masih boleh memainkan peranan penting untuk menjaga kebajikan dan membawa suara rakyat.

Bahkan, kerajaan negeri yang terbentuk juga sepatutnya menjaga kebajikan dan mendengar keluhan setiap lapisan masyarakat di Sabah, dan bukan semata-mata yang menyokong Perikatan Nasional (PN), katanya.

“Mentaliti yang ditunjukkan oleh Tan Sri TC Goh jelas menggambarkan betapa kolotnya cara pemikiran politik beliau.

“Masih tertakluk kepada cara lama yang tidak matang dan amat pekat kepartiannya. Tidak perlulah ikut saranan beliau yang tidak berasas.

“Terus maju ke depan dan abaikan pihak yang ‘opportunist’ seperti persatuan beliau,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button