Berita Utama

Menteri Pengajian Tinggi mohon maaf

Pelajar sudah tiba, boleh terus kekal di kampus, nantikan arahan universiti

BANGI, 15 Safar 1442H, Sabtu – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad memohon maaf atas kesulitan berhubung saranan kementerian supaya semua institusi pendidikan tinggi (IPT) menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.

Menerusi kenyataan di Facebook, beliau mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

“Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini.

“Kepada pelajar yang sudah tiba, boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak universiti.

“Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti.

“Akhir sekali, saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini,” katanya.

Terdahulu, KPT mencadangkan semua IPT untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar baharu dan lama ke kampus.

KPT berkata, semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilakukan secara dalam talian, termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran, sehingga ada pengumuman mengenainya dilakukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button