Berita Utama

Pelajar diminta bertenang, ada masalah terus berhubung HEP IPT

Syor universiti keluarkan segera maklumat jika ada pindaan prosedur

BANGI, 15 Safar 1442H, Sabtu – Pihak universiti khususnya Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pentadbir Kediaman digesa segera menerima kemasukan mahasiswa yang telah tiba untuk mendaftar dan memilih menginap di dalam kampus.

Gesaan itu antara beberapa tindakan segera yang disyorkan Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), bagi menangani permasalahan dihadapi mahasiswa susulan pengumuman dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), semalam.

KPT meminta semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar baharu dan lama di kampus.

KPT berkata, keputusan itu perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

Menurut kementerian itu, semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilakukan secara dalam talian, termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran sehingga ada pengumuman mengenainya dilakukan.

Bagaimanapun, rata-rata netizen kesal apabila saranan kementerian itu dibuat pada saat akhir, yang didakwa menyusahkan pelajar serta keluarga khususnya yang melakukan penerbangan dari Sabah dan Sarawak.

Justeru, Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Nor menyarankan supaya pihak universiti mengeluarkan segera pemakluman massa kepada semua pelajar masing-masing, sekiranya terdapat sebarang pindaan prosedur.

“Pihak universiti juga perlu bertindak segera dengan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan KKM di dalam pengurusan mahasiswa di dalam kampus.

“…termasuklah saringan dan pengasingan mengikut lokaliti asal pelajar yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua pihak, termasuk ibu bapa dan pelajar supaya bertenang serta tidak mudah terpengaruh dengan panik di media sosial.

“GPMS khuatir perkara ini akan menjadi luar kawalan sekiranya semua pihak tidak bertenang dan berspekulasi.

“Semua pihak harus segera kembali kepada isu pokok yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak yang berkenaan,” katanya.

Mohd Alif turut menyarankan pihak ibu bapa dan pelajar supaya terus berhubung dengan HEP universiti masing-masing, sekiranya menghadapi sebarang masalah.

“GPMS juga menyarankan mana-mana pihak, baik individu, parti politik, NGO dan pihak swasta yang mahu membantu mereka yang terkandas agar berhubung dengan IPT berkenaan, dan memastikan bahawa segala usaha dan bantuan adalah untuk memastikan kebajikan dan keselamatan mereka dijamin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button