Uncategorized

Politikus langgar SOP mesti dihukum!

Sama seperti kes kluster Sivagangga, 'Mak cik gelang pink'

BANGI, 15 Safar 1442H, Sabtu – Tidak kira siapa, meskipun pemimpin atau ahli politik, sekiranya melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, mereka juga harus dikenakan tindakan.

Sebelum ini, pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh – dalam kes kluster Sivagangga – dipenjara lima bulan dan denda RM12,000 kerana tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian.

Begitu juga kes wanita warga emas – ‘Mak cik gelang pink’ – dipenjara sehari dan didenda RM8,000 kerana ingkar perintah pengawasan ketika dalam tempoh kuarantin wajib.

Maka, kali ini rakyat tidak mahu wujud pilih kasih, kerana salah tetap salah, kata Ketua Perhubungan Negeri (KPN) ISMA Negeri Melaka, Ir. Ts. Hj Mohd Khoushaini Hj Mohd Naim.

Katanya, kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat gara-gara segelintir politikus yang tidak mematuhi arahan.

“Sepatutnya sebagai pemimpin kamu menjadi contoh bukan sebaliknya. Jika rakyat tak patuh SOP disaman, pemimpin tak patuh SOP sepatutnya dipenjara.

“Benarlah komen netizen bahawa di Indonesia pemimpin pening rakyat tak patuh SOP tetapi di Malaysia rakyat pening pemimpin tak patuh SOP.

“Begitu mudah memohon maaf, sepatutnya pemimpin memikirkan kesan mudarat, namun kini telah menyusahkan rakyat apabila covid19 semakin menular ke serata negeri,” katanya.

Setakat semalam, kes baharu COVID-19 direkodkan sebanyak 287 kes, menjadikan jumlah kes harian tertinggi dicatatkan di negara ini semenjak wabak itu mula menular dalam negara.

Kini, keseluruhan kes mencecah hingga 11,771 dengan kes aktif sebanyak 1,540.

Justeru, Ir Khoushaini berharap, tiada lagi politikus yang mementingkan diri dan kuasa berbanding kepentingan rakyat.

“Ingatlah, pemimpin dan rakyat yang patuh SOP akan menjamin kesejahteraan dan keselamatan negara ini.

“Pakai pelitup muka, kekal penjarakan sosial 1 meter, kerap membasuh tangan dan tidak bersesak di tempat awam. Kita jaga kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button