Berita Utama

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air positif COVID-19

Sejak ujian pertama, tiada sebarang tanda-tanda demam dan batuk

KUALA LUMPUR, 15 Safar 1442H, Sabtu – Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad mengesahkan beliau positif COVID-19 selepas ujian kedua dilakukan Rabu lalu, dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Ahmad Masrizal berkata, beliau tidak mempunyai sebarang gejala dan ujian pertama yang dilakukan pada 23 September lepas di Kota Kinabalu ketika kempen pilihan raya negeri Sabah menunjukkan keputusan negatif.

“Bagaimanapun selepas keputusan kedua yang mendapati positif, saya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada Khamis dan kini, Alhamdulillah saya sihat.

“Sejak ujian pertama dilakukan, saya tiada sebarang tanda-tanda demam dan batuk. Cuma sebelum masuk pejabat Isnin lalu, saya telah mengambil inisiatif sendiri untuk buat ujian swab sekali lagi dan mendapati keputusannya positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti politik turut disahkan positif COVID-19 antaranya Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii.

Tambahnya, ketika menunggu keputusan ujian pertama dan kedua, dia telah menjalani kuarantin bersendirian di rumah.

“Saya mengharapkan agar kita semua tidak mengambil mudah ancaman COVID-19 ini. Jika ada peluang untuk buat ujian kedua atau ketiga pergilah,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button