Berita Utama

UMNO masih tak boleh keluar kerangka lama ‘abang besar’

GRS nampak bermasalah, mujur masih mampu menang

BANGI, 15 Safar 1442H, Sabtu – Konflik antara UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Bersatu yang membibit lama sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula dilihat semakin menghampiri tahap krisis.

Dinamika hubungan politik UMNO-Bersatu memperlihatkan UMNO masih tidak boleh berintegrasi dan keluar daripada kerangka lama sebagai ‘abang besar’ ketika dalam BN.

Walaupun sudah tidak bersama Perikatan Nasional (PN), UMNO-BN masih terpaksa menerima mereka sebagai rakan sokongan disebabkan tiada pilihan, kata Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara(UiTM) Negeri Sembilan Kampus Seremban, Mujibu Abdul Muis.

“Dalam konteks Sabah, BN terpaksa membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bukan sahaja bagi menghadapi Warisan Plus tetapi bagi membentuk kerajaan selepasnya kerana tiada pilihan lain,” katanya dalam artikel yang disiarkan Sinar Harian, hari ini. 

Untuk rekod, BN bertanding di 41 kerusi, hanya menang 14 berbanding PN menerusi pakatan Bersatu dan Parti Solidariti Tanah Air (STAR) menang 17 daripada 27 kerusi bertanding.

Mujibu berkata, dengan margin kerusi yang tipis begitu, memang sukar untuk mana-mana parti bertindak sendirian tanpa berunding, apatah lagi apabila kemenangan yang dicapai hanya dengan majoriti mudah.

Beliau berpendapat, apa-apa sahaja boleh berlaku jika mana-mana pihak tidak mampu mencapai keputusan yang konklusif.

“Konfrontasi terbuka pula sudah tentu merenggangkan lagi kerjasama yang wujud dan bimbang akan menggagalkan sebarang usaha untuk mengintegrasikan parti dan seterusnya mewujudkan kerjasama bentuk baharu pada pilihan raya seterusnya.

“Pengajaran terbesar pada PRN Sabah menunjukkan betapa GRS yang diwujudkan bukan sahaja longgar dan bermasalah, malah tidak berfungsi sebagai satu unit politik yang sepatutnya. Mujur dalam keadaan sebegitu, GRS masih mampu menang,” katanya.

Bagaimanapun Mujibu berkata, sukar untuk menyatakan apakah UMNO-BN boleh kekal bekerjasama dengan Bersatu kerana setakat ini, UMNO dilihat terbahagi kepada dua, kem yang mahu UMNO move on dan meninggalkan Bersatu dan kem yang masih mahu kekal bekerjasama dengan Bersatu.

“Pada masa yang sama, Bersatu juga masih belum bertindak untuk meredakan keadaan terutama selepas UMNO kecil hati dan rasa terpencil setelah apa yang berlaku di Sabah.

“Hanya Naib Presidennya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang mendesak supaya sesuatu dilakukan dengan segera untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

“Yang menarik untuk diperhatikan selepas ini sudah tentulah, apakah UMNO akan ‘move on’ atau ‘move off’ dengan perkembangan yang sedang dihadapinya?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button