Berita Utama

290 pemberi maklumat diberi perlindungan SPRM

Masih ramai yang takut untuk melaporkan kegiatan rasuah

PUTRAJAYA, 16 Safar 1442H, Ahad – Seramai 290 individu diberi perlindungan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sejak tahun 2016 kerana bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, di bawah akta itu keselamatan mereka dilindungi dan dijamin.

“Pada saya ia merupakan jumlah yang banyak dan mereka ini adalah mereka yang sanggup bekerjasama dengan SPRM.

“SPRM memerlukan lebih banyak maklumat daripada orang ramai seperti ini supaya kami dapat mengumpul maklumat dengan lebih banyak dan bergerak lebih berkesan lagi,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui SPRM tidak terlepas berdepan kesukaran untuk mendapatkan maklumat kerana masih ramai yang takut untuk melaporkan kegiatan rasuah yang berlaku di sekeliling mereka.

“Antara faktor yang menyukarkan sesetengah individu berkongsi maklumat dengan agensinya berkemungkinan disebabkan takut dibuang kerja atau akan menjejaskan perniagaan mereka.

“Kami sedar bahawa untuk mendapatkan pengadu untuk datang kepada kami untuk membuat aduan itu amat susah dan peratusannya terlalu kecil,” katanya.

Beliau berkata SPRM merupakan agensi yang menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat agar mereka dilindungi daripada segala ancaman termasuk risiko dibuang kerja.

“Banyak kes yang dikendalikan ketika ini berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat dan mereka ini dilindungi oleh undang-undang termasuk daripada sebarang tindakan undang-undang oleh majikan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata sasaran SPRM adalah untuk menjadikan masyarakat di negara ini bebas rasuah dan menjadi agensi penguat kuasa rasuah terunggul di dunia, dan untuk merealisasikan impian itu, pelbagai strategi perlu dirangka yang turut melibatkan semua pihak termasuk pelbagai jabatan dan agensi lain. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button