Berita Utama

Kartel daging: SPRM panggil 27 orang saksi

SPRM masih aktif jalan siasatan dengan menganalisis maklumat

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 27 saksi berhubung isu kartel daging sejuk beku membabitkan pekerja syarikat, ejen pengimport dan pegawai kerajaan.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu dan berkaitan pemalsuan dokumen.

“Buat masa ini, SPRM masih aktif menjalankan siasatan dengan menganalisis maklumat, pengumpulan bukti-bukti serta akan membuat beberapa lagi tangkapan bagi melengkapkan siasatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, lapan suspek telah direman bagi membantu siasatan kes sejak 4 Januari lepas.

Kenyataan itu juga menyebut SPRM Johor semalam telah menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun di Johor Bahru dan suspek direman selama enam hari bermula hari ini selepas permohonan bagi tujuan tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

SPRM Johor sebelum ini dilapor telah membuka kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 8 Jan lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis sedang mengumpul keterangan saksi berhubung isu itu untuk dirujuk kepada pihak Peguam Negara bagi tindakan susulan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button