Berita Utama

Ekonomi Bumiputera masih jauh ketinggalan, kadar kemiskinan tinggi

Pengangguran golongan muda tiga kali ganda dari kadar purata nasional

BANGI, 16 Safar 1442H, Ahad – Sekiranya dilihat daripada pelbagai dimensi aspek pembangunan, tidak boleh dinafikan ekonomi Bumiputera secara relatifnya masih lagi jauh ketinggalan.

Bahkan aspek kemiskinan, jelas Bumiputera masih mencatatkan kadar kemiskinan yang tinggi berbanding kelompok lain – sebanyak 7.2 peratus pada 2019, manakala kaum Cina pada tahap 1.4 peratus dan India pada 4.8 peratus masing-masing.

Dari segi ketidakseimbangan pendapatan dan harta juga, kita dapat melihat trend kesenjangan yang agak ketara antara kaum, kata Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.

Bagi Bumiputera, jurang sesama Bumiputera juga mengalami trend membimbangkan, erti kata lain, kedua-dua bentuk ketidakseimbangan, iaitu yang berbentuk menegak dan mendatar perlu diambil perhatian.

Manakala, aspek pengangguran, Bumiputera mencatatkan kadar yang agak tinggi iaitu 3.7 peratus pada 2019, berbanding di peringkat nasional, iaitu pada 3.3 peratus.

“Jika diteliti pengangguran golongan muda, yang mana tahapnya adalah tiga kali ganda daripada kadar purata nasional, golongan Bumiputera juga antara teramai,” katanya menerusi artikel yang disiarkan Berita Harian.

Dalam konteks Dasar Ekonomi Baru (DEB), beliau berkata, sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera pada kadar 30 peratus ketika 1990 jelas jauh tersasar.

“Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pada 2015 direkodkan hanya pada 16.2 peratus.

“Yang menariknya, dalam aspek pemilikan ekuiti korporat ini, ada peningkatan dalam pegangan asing, iaitu pada 45.3 peratus pada 2015.

“Justeru, isu ini perlu diberi perhatian dalam konteks untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera pada masa hadapan,” katanya.

Prof Irwan berkata, solusi lebih holistik dan mapan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera pada masa hadapan adalah dengan penstrukturan semula agensi kerajaan berkaitan Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM), dan juga Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Katanya, satu ekosistem kondusif untuk menjadikan golongan Bumiputera sebagai usahawan dan pelabur yang berjaya di peringkat antarabangsa perlu dimulakan dari sekarang.

“Mereka perlu berdaya saing dan kompetitif, terutama pada era pandemik COVID-19 ini.

“Ada antara mereka perlu bantuan kerana terpaksa mengubah model perniagaan atau terpaksa penstrukutran kos kepada perniagaan, selain persediaan dari segi penguasaan teknologi digital,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button