Berita Utama

Kakitangan positif COVID-19, UniSZA ditutup sementara

Proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara dalam talian

KUALA NERUS, 16 Safar 1442H, Ahad  – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja nyah kuman secara menyeluruh dilakukan, susulan seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penutupan itu membabitkan semua kampus iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut selama tiga hari bermula esok.

“Dalam tempoh penutupan itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan seperti biasa secara dalam talian bagi memastikan keselamatan pelajar dan kakitangan.

“Sebagai langkah kawalan, UniSZA telah memutuskan supaya semua kakitangan bekerja dari rumah bermula 5 hingga 7 Oktober bagi membolehkan aktiviti disinfeksi (dijalankan) secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, arahan ini membabitkan semua operasi pentadbiran kecuali kakitangan dalam perkhidmatan penting seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman tertakluk kepada kelulusan Naib Canselor.

Hassan Basri berkata, kakitangan yang positif COVID-19 mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu menaiki kapal terbang yang juga dinaiki seorang individu yang pulang dari Sabah dan individu itu kemudian disahkan positif virus berbahaya tersebut.

Susulan kes itu juga, seramai 14 kakitangan UniSZA yang dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit tersebut telah diletak di bawah perintah pengawasan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan.

Warga UniSZA lain yang mempunyai kontak dengan kakitangan yang dikuarantin juga telah diarah menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 2 Okt bagi mengelak penularan dalam kampus.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan Mac lalu, UniSZA telah mengambil langkah menangguhkan semua program bersemuka sehingga keadaan kembali reda.

“UniSZA juga menggerakkan pasukan kaunseling terlatih dan unit kebajikan yang aktif membantu kakitangan serta keluarga yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, terdapat 584 pelajar yang berada di kampus dan pihaknya memberi jaminan akan memastikan segala keperluan serta kebajikan mereka terpelihara. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button