Berita UtamaDunia

Masjidil Haram dibuka semula untuk jemaah umrah

1,000 petugas sudah dilatih, Masjidil Haram dibersih 10 kali sehari

JEDDAH, 16 Safar 1442H, Ahad – Setelah lebih enam bulan ditutup akibat COVID-19, Masjidil Haram kembali dibuka kepada jemaah bagi menunaikan umrah.

Lebih 1.8 bilion umat Islam seluruh dunia berkongsi kegembiraan selepas Masjidil Haram dibuka semula jam 6 pagi Ahad.

Jemaah yang dibenarkan masuk perlulah membuat permohonan melalui aplikasi I’tamarna yang disediakan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Negara itu mengambil langkah drastik bagi memerangi pandemik COVID-19 dengan menangguhkan ibadat solat dan umrah di masjid pada pertengahan Mac lalu.

Kerajaan turut menghentikan penerbangan antarabangsa dan menutup lapangan terbang bagi mengurangkan penularan wabak.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menetapkan lima lokasi antaranya Al-Gaza, Ajyad dan Al-Shasha, di mana para jemaah akan bertemu dan berkumpul dengan pekerja kesihatan untuk menaiki bas ke Masjidil Haram.

Selain itu, kamera termal akan diletakkan di pintu masuk dan ruang dalam Masjidil haram bagi memantau suhu badan serta mengeluarkan amaran sekiranya perlu.

Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi melakukan persiapan menerima para jemaah dengan langkah berjaga-jaga dan kawalan ketat.

Kira-kira 1,000 petugas telah dilatih bagi pemantauan sepanjang proses ibadat umrah di Masjidil Haram.

Masjid akan dibersihkan 10 kali sehari selepas kehadiran setiap kumpulan. Operasi pembersihan secara teliti turut dilakukan di permaidani dan tandas.

Sistem penghawa dingin jua dilengkapi dengan teknologi pembersihan ultraviolet, sementara para pekerja turut akan membersihkan penapis udara sebanyak sembilan kali sehari dalam tiga tahap berbeza.

Pada masa sama, Presiden juga melancarkan beberapa inisiatif termasuk ‘Kammamat’ (pelitup muka) bagi memastikan keselamatan jemaah. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button