Berita Utama

‘PN masih rapuh, pandemik COVID-19 selamatkan gabungan buat sementara’

Perjalanan PN tak mudah, terpaksa kongsi kuasa tanpa parti dominan

BANGI, 16 Safar 1442H, Ahad – Sekiranya mana-mana parti komponen menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN), negara berkemungkinan berhadapan pilihan raya dan kerajaan sekali lagi dalam keadaan tergantung.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub, Dr Ilyas Abdullah berkata, gabungan PN tidak mempunyai parti yang benar-benar dominan.

Justeru, katanya, sesetengah penganalisis berpendapat bahawa pembentukan PN hanya semata-mata menjamin kestabilan politik negara.

“Hubungan terbentuk adalah persefahaman menstabilkan politik negara susulan kemelut politik dicetuskan kelompok elit tertentu daripada dalam dan luar PH (Pakatan Harapan),” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Dr Ilyas berkata, UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempunyai segmen pengundi sama, iaitu menyasarkan Melayu dan Islam dan perkara berkenaan mungkin akan menyaksikan bibit konflik.

Pada masa sama, beliau menyifatkan PN adalah rapuh, namun kejayaan mengurus ancaman pandemik COVID-19 menyelamatkan gabungan itu buat sementara waktu.

“Ada kemungkinan akan berlakunya konflik antara parti gabungan selepas berakhirnya COVID-19 khususnya hal berkait perebutan kuasa.

“Memandangkan setiap parti ada kekuatan hampir setara, elemen ‘memampas’ tidak lagi berkesan bagi meredakan persaingan sesama rakan komponen.

“Sekiranya terdapat mana-mana parti memilih jalan keluar daripada gabungan, maka PN mungkin runtuh seperti runtuhnya PH,” katanya menerusi artikel disiarkan Berita Harian, hari ini.

Bukan itu sahaja, Dr Ilyas berkata, pembentukan kerajaan PN masih gagal menyelesaikan krisis perebutan kuasa antara elit politik.

Lantas, katanya, perjalanan PN adalah tidak mudah susulan terpaksa berkongsi kuasa tanpa ada suatu pun parti dominan.

“Setiap parti cuba menuntut keistimewaan dan hak lebih khususnya membabitkan pelantikan menteri dalam Kabinet.

“Hal ini berbeza sama sekali dengan formula BN (Barisan Nasional) selama enam dekad lalu.

“…yang menyaksikan bagaimana UMNO begitu dominan dalam menyusun atur pecahan kerusi dalam pilihan raya dan jawatan Kabinet secara pampasan dengan parti komponen lebih kecil, sekali gus berjaya mengelakkan persaingan,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button