Berita Utama

Polis tahan lelaki ‘gelang pink’ makan di restoran

Dapat arahan jalani kuarantin bermula semalam hingga 16 Oktober

BANGI, 16 Safar 1442H, Ahad – Polis menahan seorang lelaki memakai ‘gelang pink’ di Bandar Tasik Puteri, Rawang kerana melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKKP) COVID-19.

Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan ketika makan di sebuah restoran, selepas pihak polis menerima aduan daripada orang awam.

Lelaki berkenaan dilaporkan mendapat arahan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah bermula semalam sehingga 16 Oktober ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki itu melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan penyakit COVID-19 mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Bejangkit 1988

“Dia sudah menjalani ujian saringan COVID-19 selepas tiba dari Kota Kinabalu, Sabah dengan satu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) semalam dan keputusan ujian masih belum diterima.

“Perbuatannya yang tidak mematuhi arahan menjalani kuarantin jelas boleh menggusarkan masyarakat sekitar.

“Kita nasihatkan orang ramai supaya mematuhi perintah menjalani kuarantin seperti yang diarahkan pihak KKM bagi memastikan keselamatan mereka, keluarga mereka serta orang lain,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Arifai berkata, proses reman terhadap lelaki berkenaan dibuat di sebuah bilik khas yang disediakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa, katanya.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988/ Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (No 8) 2020.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button