Rejim penjajah Israel tangkap pemimpin kanan Hamas
Hassan Yousef pernah ditahan selama 21 tahun di penjara Israel

TEBING BARAT, 16 Safar 1442H, Ahad – Rejim penjajah Israel makin bertindak melampau apabila menangkap pemimpin kanan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Hassan Yousef, 65, di bandar Beitonya di Tebing Barat, tanpa alasan munasabah.
Sumber keselamatan Palestin mendedahkan, sebilangan besar pasukan pengganas Israel menyerbu kota itu dan memecah masuk rumah Yousef pada waktu Subuh, sebelum menangkap dan menghantarnya ke Penjara Ofer.
Yousef sebelum ini dibebaskan pada Julai 2020 setelah ditahan 15 bulan di penjara Israel.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Palestin, pernah dipenjara 21 tahun – kebanyakannya berada dalam tahanan pentadbiran.
Pemimpin Hamas itu menderita beberapa penyakit kronik, termasuk darah tinggi dan diabetes dan memerlukan rawatan perubatan yang berterusan.
Rakyat Palestin mengecam penahanan Yousef, mereka dakwa beliau ditahan tanpa alasan selain untuk memenjarakannya dalam tahanan pentadbiran.
Setiausaha Jeneral Jawatankuasa Eksekutif Fatah, Jibril Rajoub memberitahu, negara haram Israel menahan Yousef bagi melemahkan usaha menyatukan rakyat Palestin dalam menghadapi ancaman Israel dan Amerika Syarikat yang menyasarkan perjuangan Palestin. – Agensi