Tunisia kurangkan waktu bekerja, larang adakan perhimpunan
Kes melonjak kepada 20,000 berbanding 1,000 kes sebelum sempadan dibuka

TUNISIA, 16 Safar 1442H, Ahad – Pihak berkuasa Tunisia mengurangkan waktu bekerja untuk sektor awam dan melarang sebarang perhimpunan diadakan sebagai langkah menghentikan penyebaran COVID-19, kata Perdana Menteri, Hichem Mechichi, semalam.
Keputusan itu diambil beikutan bimbang hospital di negara Afrika Utara tidak dapat mengatasi jumlah pesakit yang tinggi kerana kekurangan tempat rawatan intensif.
Jumlah kes coronavirus telah melonjak sehingga 20,000 berbanding kira-kira 1,000 kes sebelum sempadan negara dibuka semula pada 27 Jun lalu.
Mechichi ketika mengumumkan langkah-langkah terbaharu untuk memerangi virus itu berkata, beliau sudah mengarahkan Gabenor Tunisia untuk melaksanakan penutupan wilayah jika perlu.
Namun, katanya, perintah berkurung mungkin tidak dapat dilaksanakan di seluruh negara kerana kemerosotan ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini – disebabkan perintah berkurung pertama pada bulan Mac.
Ekonomi yang bergantung kepada pelancongan di Tunisia merosot 21.6 peratus pada suku kedua berbanding tempoh yang sama tahun lalu. – Agensi