Berita Utama

Undang-undang Islam perlu jadi teras sistem perundangan

Kedudukan tinggi undang-undang Islam dapat dilihat dalam Perkara 150 (6A) Perlembagaan

BANGI, 16 Safar 1442H, Ahad – Undang-undang Islam seharusnya menjadi teras kepada sistem perundangan di Malaysia kerana Perlembagaan memberi kedudukan istimewa kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Perkara 3 Perlembagaan telah menegaskan bahawa Islam bukan sekadar agama rasmi, sebaliknya agama bagi Persekutuan.

Malah, katanya, mahkamah turut memberi tafsiran kepada Perkara 3 bagi menjelaskan kedudukan Islam.

“Misalnya, dalam satu kes Mahkamah Tinggi iaitu Meor Atiqurrahman lawan Fatimah Sihi Hakim Mohd Noor memutuskan: “Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah agama utama antara agama-agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama tegak.

“Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi teguh dan terang. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Mengulas perkara sama, Datuk Zainul Rijal berkata, kedudukan undang-undang Islam yang tinggi turut dapat dilihat dalam Perkara 150 (6A) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kuasa legislatif ketika darurat juga tidak boleh membabitkan perkara-perkara berkaitan undang-undang agama itu.

Jelasnya, meskipun kuasa diperoleh legislatif ketika darurat tidak boleh memberi kesan kepada undang-undang Islam, namun ia masih perlu dilakukan mengikut prosedur khusus dan persetujuan majoriti berdasarkan Perkara 159 dan 161E.

“Begitulah tingginya kedudukan undang-undang Islam di Malaysia. Ia disebabkan sifat Perlembagaan itu sendiri yang mengabsahkan susun atur dan persetujuan masyarakat setempat berdasarkan lunas-lunas sejarah norma lazim dan persetujuan bersama, ” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button