Berita Utama

COVID-19: 2 lagi sekolah di Terengganu ditutup hari ini

Ujian saringan turut dilakukan ke atas murid, guru

KUALA NERUS, 17 Safar 1442H, Isnin –  Dua buah sekolah di Terengganu ditutup mulai hari ini hingga 11 Oktober berikutan terdapat pelajar dan muridnya yang disahkan positif COVID-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Salim Ab Ghani berkata, dua sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir di Kuala Nerus.

“Penutupan sekolah ini dilakukan setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi membolehkan aktiviti disinfeksi dilakukan.

“Sehubungan itu, saringan COVID-19 juga akan dilakukan terhadap murid atau guru yang menjadi kontak rapat dengan pesakit COVID-19 di sekolah tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

SMK Kompleks Seberang Takir mempunyai 765 pelajar dan 82 guru manakala SK Kompleks Seberang Takir mempunyai 817 murid dan 63 guru.

Pada Jumaat lepas, SK Padang Kemunting juga di Kuala Nerus ditutup setelah seorang gurunya disahkan positif COVID-19, manakala sehari sebelum itu, sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun turut ditutup, setelah seorang kakitangannya disahkan positif wabak berkenaan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button