Berita Utama

Cukuplah Tun M, rakyat perlukan politik baharu bebas ‘warlord’

Malaysia tak tandus pemimpin pelapis berwibawa, amanah: ISMA

BANGI, 17 Safar 1442H, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan supaya tidak meneruskan hasratnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Bekas Perdana Menteri itu memberi bayangan berkemungkinan bertanding lagi pada PRU akan datang, selepas penyokongnya tidak bersetuju beliau bersara.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa tidak berhasrat bertanding, namun akan kekal dalam arena politik dengan melawan gejala rasuah melalui parti baharunya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Beliau yang berusia 95 tahun dan memegang rekod Perdana Menteri tertua di dunia itu berkata, pengumuman yang dibuat mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokongnya.

Bagaimanapun, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berpendirian sebaliknya terhadap hasrat Dr Mahathir itu.

Beliau berkata, rakyat dan negara kini memerlukan politik baharu yang bebas daripada ‘warlord’ politik.

“Cukuplah Tun. Dahulukan pemimpin muslim berwibawa, amanah dan kompeten yang mendahulukan agenda agama, bangsa dan negara.

“Saya yakin bahawa Malaysia tidak ketandusan pemimpin pelapis yang berwibawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain memegang rekod Perdana Menteri tertua di dunia ketika memegang tampuk pemerintahan untuk kali kedua selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya pada Mei 2018, Dr Mahathir juga antara Perdana Menteri paling lama berkhidmat bermula 1981 hingga 2003.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button