Berita Utama

Dakwaan Balai Polis Sungai Petani ditutup tak benar

Operasi seperti biasa walaupun 18 anggota jalani saringan

ALOR SETAR, 17 Safar 1442H, Isnin – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda hari ini menafikan dakwaan bahawa Balai Polis Sungai Petani ditutup berikutan kes COVID-19 seperti yang dimuat naik oleh seorang individu di laman media sosialnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata, dakwaan pemilik Facebook bernama Mohd Faiz Basri bahawa balai itu ditutup sementara ekoran 32 kakitangannya disaring dan kini dikuarantin adalah tidak benar.

“Balai polis itu masih beroperasi seperti biasa walaupun 18 anggota yang bertugas di situ telah menjalani saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kesemua mereka kini menjalani kuarantin di kediaman masing-masing dan kawasan balai telah disanitasi bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

“Satu laporan telah dibuat terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, polis akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap individu yang menyalahgunakan kemudahan rangkaian sehingga boleh memudaratkan keharmonian masyarakat terutama penduduk di daerah Kuala Muda.

Beliau menasihati masyarakat agar bertanggungjawab, beretika dan berhemah semasa menggunakan media sosial demi kesejahteraan semua pihak selain melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima atau mengesan sebarang kenyataan yang meragukan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button