Menteri Agama positif COVID-19
Dr Zulkifli minta orang ramai hadiri majlis babitkan kehadirannya jalani ujian saringan
KUALA LUMPUR, 17 Safar 1442H, Ahad – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri disahkan positif COVID-19.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau mengesahkan perkara itu dan kini sedang menerima rawatan
“Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang menghadiri majlis membabitkan kehadirannya bermula 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di klinik kesihatan dengan segera.
“Saya berdoa semoga Allah SWT sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada COVID-19. Insya-Allah,” katanya.
Beliau yang dijadualkan merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ar Rahnu YaPEIM di ibu negara hari ini juga tidak hadir pada program berkenaan.