Berita UtamaPendapat

Menteri Bumiputera perlu bangunkan Sabah ikut acuan Islam

Jangan mudah terpengaruh dengan desakan kaum cauvinis

DI SABAH, kehidupan bermasyarakat di kalangan suku kaum sangat baik dan harmoni, saling hormat-menghormati sesama kaum dan agama. Begitulah Islam mengajarkan umatnya untuk bersikap adil di dalam kehidupan bermasyarakat.

Hal ini dapat dibuktikan dengan Sirah Nabi Muhammad SAW yang telah menjadi pemimpin di Madinah dengan berlaku adil kepada agama lain selagi mereka tidak memusuhi Islam.

Menurut sumber Jabatan Statistik Malaysia (2010), 65.4 peratus adalah majoriti muslim di Sabah. Hal ini menunjukkan bahawa muslim di negeri ini memerlukan seorang pemimpin Islam yang adil dan boleh memajukan ekonomi masyarakat.

Kita akui bahawa ekonomi di Sabah sangat ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri lain dan ianya pula dipegang oleh kaum yang minoriti. Melayu Bumiputera Sabah pula hanya mampu bekerja di bawah majikan yang kadang kala tidak memberikan hak sebagai seorang muslim seperti untuk melaksanakan solat dan juga bertudung.

Oleh sebab itu, hanya dengan acuan Islam yang sebenar sahaja yang dapat membimbing pemimpin dan masyarakat ke arah hidup yang lebih baik.

Kabinet Menteri Sabah yang ditubuhkan baru-baru ini menunjukkan bahawa Islam telah menyatukan suku kaum di Sabah.

Sebagai contoh, Ketua Menteri yang baharu, Datuk Hajiji adalah terdiri suku Bajau, Datuk Bung Mokhtar pula dari suku Sungai, manakala Datuk Masidi Manjun dari suku Dusun. Persamaan ketiga-tiga menteri ini adalah Muslim. Kita sangat harapkan mereka boleh membawa negeri Sabah ini ke arah kemajuan yang berasaskan acuan Islam yang sebenar kerana majoriti penduduk Sabah adalah muslim.

Saya yakin wakil negeri ini dapat membangunkan negeri Sabah untuk maju ke hadapan dari segi aspek rohaniyyah dan juga lahiriyyah.

Jangan mudah terpengaruh dengan desakan kaum cauvinis yang ingin turut bersama dalam menteri kabinet. Kita yakin dengan kemampuan Melayu Muslim Bumiputera Sabah untuk memimpin dan menjamin kesejahteraan negeri ini.

Teruskan membangun umat Islam di negeri ini kerana Islam yang sebenar mengajarkan kebaikan kepada masyarakat yang berbilang kaum.

Moga Allah berkati Negeri Sabah Darul Saadah.

Yang di-Pertua ISMA Sandakan
Muhammad Nur Selamit

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button