Berita Utama

Perlis akan siasat dakwaan tanah diceroboh untuk kegiatan penyeludupan

'Kita akan periksa semula fakta sama ada pencerobohan benar atau tidak'

KANGAR, 17 Safar 1442H, Isnin – Perlis akan menyiasat dakwaan terdapat tanah milik kerajaan negeri diceroboh pihak tertentu untuk kegiatan penyeludupan.

Berita Harian hari ini mendedahkan, tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) di Kampung Kolam, Padang Besar diceroboh sindiket penyeludupan dengan menjadikannya lokasi transit susulan terletak berhampiran tembok sempadan Malaysia-Thailand.

Akibat pencerobohan itu, kegiatan penyeludupan rentas sempadan didakwa semakin kerap, yang mana sindiket turut menyeludup barang terlarang seperti dadah dan ketum menggunakan sekurang-kurangnya 20 laluan tikus.

Kampung Kolam didakwa sangat popular dalam kalangan penduduk sebagai tumpuan penyeludup sehingga sehingga diberi jolokon ‘Kampung Colombia’.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, terdapat antara kawasan itu diberikan kepada beberapa pihak tertentu untuk didirikan pembinaan dan kemudahan tertentu.

“Saya kena lihat semula fakta dan dakwaan pihak berkenaan bahawa terdapat tanah (milik kerajaan negeri) di sana (Kampung Kolam) yang diceroboh oleh pihak tertentu.

“Saya difahamkan di dalam Kampung Kolam terdapat beberapa kawasan diklasifikasikan sebagai tanah bergeran, aset pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), aset kerajaan negeri dan juga tanah yang tidak dibenarkan untuk didirikan penempatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, untuk kategori tanah yang tidak dibenarkan didirikan penempatan, kawasan itu terletak betul-betul berdekatan tembok sempadan Malaysia-Thailand.

“Kita akan periksa semula fakta itu sama ada dakwaan pencerobohan itu benar atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat melakukan pemeriksaan terperinci ketika ini berikutan masih menjalani perintah kuarantin di rumah sehingga 8 Oktober depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button