Berita Utama

PM kuarantin 14 hari di rumah

Kontak rapat ketika mesyuarat MKN diberi surat perintah pengawasan, pemerhatian

BANGI, 17 Safar 1442H, Isnin – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selama 14 hari, mengikut nasihat yang diberikan Kementerian Kesihatan (KKM).

Muhyiddin dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang hadir Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabtu lalu, disahkan positif COVID-19.

“Hal ini bagaimanapun tidak akan menganggu urusan kerajaan.

“Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan,” katanya.

Terdahulu, Dr Zulkifli dalam satu kenyataan mengesahkan dirinya positif COVID-19 dan kini sedang menerima rawatan.

Beliau turut meminta orang ramai yang menghadiri sebarang majlis membabitkan kehadirannya bermula 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan di klinik kesihatan dengan segera.

Muhyiddin berkata, KKM telah menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 ke atas semua ahli dan urusetia mesyuarat berkenaan.

“Berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat ini telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari 3 Oktober dan dipakaikan gelang pengawasan.

“Ahli mesyuarat yang bukan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari bermula 3 Oktober hingga 16 Oktober 2020 dan memantau kesihatan kendiri di rumah setiap hari menggunakan ‘home assessment tool (HAT)’ dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

Muhyiddin berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, beliau juga melakukan ujian saringan pengesanan COVID-19 (ujian swab) setiap dua minggu sejak April lalu, dan kesemuanya disahkan negatif.

“Selain itu, saya telah melakukan tiga ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September dan didapati negatif,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button