Isu Al Jazeera: Cari serta hukum warga asing fitnah Malaysia
Jika dibiarkan mereka, akan jadi satu kebiasaan hina negara lain
BANGI, 14 Zulkaedah 1441H, Isnin – Tuduhan Al Jazeera yang tidak berasas sehingga menjejaskan imej Malaysia membuktikan betapa biadabnya pendatang asing yang kini berada di negara ini.
Berikutan itu, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari menggesa, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit.
“Akhirnya, kita telah dibuktikan betapa biadabnya warga asing yang ada dalam Malaysia dengan terdedahnya video daripada Al Jazeera.
“Saya dan seluruh rakyat mahu mana-mana pihak yang cuba menfitnah, menghina dan memalukan Malaysia wajib dihukum, ditahan dan dibuang negara!
“Jika tiada tindakan susulan, akan menjadi satu kebiasaan apabila warga asing atau rakyat untuk menghina dan menfitnah Malaysia! Tolonglah jangan sampai rakyat bersuara lantang dan bertindak lebih agresif,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Al Jazeera dalam laporan bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” mendakwa, berlaku diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI), dari segi layanan ketika Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani COVID-19.
Video laporan berdurasi 20.25 minit itu mendapat cemuhan netizen yang menyifatkannya sebagai tidak benar dan berniat tidak baik.