Berita UtamaIstimewa

PRU15: BERJASA sedia bertanding di Parlimen Seremban

Jika parti sedia ada pertaruh calon bukan muslim, Melayu tak wibawa

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 17 Safar 1442H, Isnin – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mengulangi kesediaannya bertanding di mana-mana kerusi majoriti Melayu, sekiranya parti sedia ada kekal meletakkan calon daripada kaum lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Biro Perhubungan dan Komunikasi BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, parti itu kekal dengan prinsip bahawa kawasan majoriti Melayu, mestilah ditandingi dan diwakili calon Melayu.

Justeru, BERJASA sentiasa memberikan pilihan alternatif kepada pengundi Melayu, sekiranya kawasan itu kekal diletakkan calon daripada kaum lain, termasuk di Parlimen Seremban.

“Seremban antara kawasan majoriti Melayu, sebab itu pada PRU13 BERJASA telah menghantar calon Melayu muslim berwibawa.

“PRU15 nanti, BERJASA sedia menghantar calon muslim berwibawa, sekiranya UMNO dan PAS masih mempertaruhkan calon bukan muslim di kawasan majoriti Melayu seperti Parlimen Seremban,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengikut pecahan pengundi di Parlimen Seremban, kaum Melayu adalah paling ramai iaitu 48.3 peratus, diikuti Cina 36.8 peratus, India (13.5 peratus) dan selebihnya lain-lain.

Bagaimanapun, kerusi Parlimen berkenaan tidak diwakili oleh calon Melayu kecuali daripada PAS pada PRU14 lalu.

Pilihan raya lalu, kerusi Parlimen Seremban menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Setiausaha Pengelola Kebangsaan DAP, Anthony Loke, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Chong Sin Woon dan wakil PAS, Sharifuddin Ahmad.

Julai lalu, Pemuda UMNO Bahagian Seremban meminta MCA memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding pada PRU15 nanti, memandangkan kerusi berkenaan tidak pernah sekali pun dimenangi MCA selama tiga penggal.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamani berkata, BERJASA juga sedia meletakkan calon mereka, sekiranya UMNO atau parti lain mempertaruhkan calon Melayu yang tidak berwibawa di Seremban.

“Jika kerusi itu dihantar calon Melayu yang boleh dipertikaikan kewibawaannya, maka kita bersedia berikan pilihan alternatif kepada pengundi Parlimen Seremban.

“Rakyat sebenarnya sudah muak dengan perangai wakil-wakil rakyat yang hanya memperjuangkan kepentingan diri dan parti semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, BERJASA juga sudah bersedia untuk menjadi parti harapan masa depan bagi rakyat.

“Perjuangan BERJASA adalah perjuangan demi watan, di mana tiang serinya ialah Perlembagaan Persekutuan.

“Semua rakyat pelbagai bangsa di Malaysia ini akan kita harmonikan dan berikan hak-haknya berdasarkan peruntukan yang sudah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.δ

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button