Berita Utama

Penguatkuasaan mesti adil supaya moral rakyat tak hilang

Jangan mengalah walaupun ada beberapa perkara nampak dwi-standard

BANGI, 18 Safar 1442H, Selasa – Rakyat diminta tidak mengalah, malah terus bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meminimumkan jangkitan COVID-19 meskipun terkilan dan kecewa kerana penguatkuasaan seolah-olah dwi-standard.

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, perkara sedemikian amat perlu memandangkan virus berkenaan akan terus berada dalam komuniti.

Bahkan, beliau turut menggesa supaya penguatkuasan lebih efektif dan adil supaya moral rakyat tidak hilang dan kecewa.

“Kita harus ikut saranan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), kerana sebagai rakyat walaupun kita sedikit terkilan kerana beberapa perkara rakyat nampak dwi-standard, kita tak boleh mengalah.

“Dan tidak seperti awal (pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, semua orang tak ada persediaan.

“Kita kurang peralatan perlindungan peribadi (PPE), topeng. Tetapi sekarang ini masalah itu sekurang-kurangnya telah diselesaikan, kerana kerajaan telah mengawal harga barang-barang itu,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Mengulas mengenai rasa tidak puas hati rakyat susulan beberapa pemimpin dan ahli politik tidak mengendahkan saranan untuk kuarantin diri 14 hari selepas pulang dari kawasan berisiko tinggi, Dr Rafidah Hanim berkata, semua pihak harus berdisiplin dan mengikut saranan yang dikeluarkan KKM.

Katanya, pesanan itu seharusnya diambil berat oleh para pimpinan kerana rakyat mahu melihat kesabaran mereka dalam proses kuarantin.

“Proses ini mana-mana pihak pun rasa tersekat, kerana memang sifat manusia suka bersosial. Bila kena kuarantin, perlukan satu yang kita panggil semangat, dan semangat itu akan datang kalau pimpinan tunjukkan mereka juga kuarantinkan diri,” katanya.

Semalam, Malaysia merekodkan 432 kes baharu COVID-19 iaitu yang tertinggi sejak wabak itu mula dikesan di negara ini, pada akhir Januari lalu.

Ini kali ketiga rekod harian tertinggi virus itu dicatatkan di negara ini selepas mencatatkan 287 kes pada Jumaat lalu, diikuti 317 kes pada Sabtu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button