Berita UtamaIstimewa

Kerajaan minoriti bakal terbentuk?

Mungkin ada PRU lagi jika kerajaan masih tak ditubuh

BANGI, 27 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Pengamal undang-undang, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tidak menolak kemungkinan akan terbentuknya kerajaan minoriti di negara ini.

Ia susulan keputusan Barisan Nasional (BN) yang tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu berikutan ketetapan Dewan Tertinggi BN.

Beliau berkata, susulan ketetapan tersebut, maka BN memilih kekal sebagai pembangkang.

“BN tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN). Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang,” katanya.

Menerusi hantaran di Facebook, Zainul Rijal berkata, jika benar BN tidak menyokong mana-mana gabungan maka berkemungkinan besar akan ada kerajaan minoriti.

“Kerajaan minoriti pernah ada di beberapa negara termasuk England.

“Tetapi jika kerajaan masih tak dapat ditubuh dalam waktu tertentu mungkin ada PRU lagi,” katanya.

Setakat ini, kerajaan baharu belum dapat dibentuk kerana tiada parti yang berjaya memperolehi majoriti mudah 112 kerusi pada PRU15.

Keputusan di 220 kerusi Parlimen menunjukkan PH beroleh 82 kerusi diikuti PN (73 kerusi), BN (30 kerusi) manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi.

Parti Warisan pula memiliki tiga kerusi, calon Bebas dua kerusi serta Parti Kesejahteraan Demoratik Malaysia (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu kerusi.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang ini bertitah akan membuat keputusan berkaitan pelantikan Perdana Menteri ke-10 dalam masa terdekat.

Baginda bertitah, rakyat perlu terima apa sahaja keputusan berhubung pembentukan kerajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button