Berita Utama

Tunda dulu PRK Batu Sapi! Fikirkan nyawa rakyat

Bimbang kenaikan kes COVID-19 seperti berlaku selepas PRN Sabah

BANGI, 18 Safar 1442H, Selasa – Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan akan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah susulan kematian penyandangnya – rata-rata netizen tidak bersetuju dan menganggap seolah-olah menempah musibah.

Tinjauan Ismaweb.net mendapati kebanyakan pengguna media sosial bimbang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah – sehingga menyebabkan peningkatan kes COVID-19 – akan kembali berulang.

Netizen dikenali sebagai Shahreena Paramasuvaran menyarankan supaya PRK Parlimen Batu Sapi tidak diadakan kerana baginya ada atau tidak wakil rakyat, rakyat masih menderita.

“Fokus kepada ratakan lekuk kes COVID-19,” katanya.

Cik Reen pula membantah PRK diadakan dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19 ketika ini.

“Sudah-sudahlah mahu buat PRK masa COVID-19 ini! Fikirkan nyawa rakyat! Kesian ‘frontliner’. Kalau ada otak itu tolonglah guna untuk berfikir!,” katanya.

“Pilihan raya memang kecil. Tetapi besar kesannya pada negara. Harap SPR fikir dulu sedalamnya sebab pandemik masih ada,” demikian pula kata Mas Zaizeli Ibrahim.

Mohd Tahir yang mendakwa pengundi di Parlimen Batu Sapi turut menolak keras PRK diadakan.

“Kalau ada PRK juga, memang kerja gila. Saya pengundi di Parlimen Batu Sapi menolak keras PRK ini dilaksanakan.

“Cari pendekatan lain. Cukuplah orang politik terdahulu. Kita harus belajar dari PRN Sabah baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Hillary Nelchael HR mengesyorkan supaya kempen PRK Parlimen Batu Sapi dilakukan menerusi media sosial memandangkan proses demokrasi dan peruntukan di dalam Perlembagaan perlu dipatuhi.

Katanya, PRK merupakan salah satu keperluan untuk mengisi kekosongan di kawasan Parlimen tersebut.

“Cuma prosedur operasi standard (SOP) untuk PRK kali ini hendaklah lebih ketat, tiada ceramah, tiada gerakan rumah ke rumah. Kempen melalui media sosial seperti Facebook dan Whatsapp,” sarannya.

Terdahulu, SPR memaklumkan, PRK akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas.

Menurut SPR, pelaksanaan PRK itu selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button