Berita Utama

ADUN Maharani positif COVID-19

Pejabat kesihatan daerah kenal pasti kontak rapat

JOHOR BAHRU, 18 Safar 1442H, Selasa – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Nor Hayati Bachok hari ini mengesahkan dirinya positif COVID-19 seperti yang tular dalam media sosial sejak semalam.

“Ye betul,” katanya ringkas dalam mesej WhatsApp yang dihantar kepada Bernama.

Sebelum itu, tular di laman sosial bahawa Ketua Angkatan Wanita Amanah Negeri (AWAN) Johor itu positif COVID-19 sekembalinya dari Sabah baru-baru ini.

Sementara itu, Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Maharani dalam satu kenyataan berkata Nor Hayati kini sedang dirawat.

“Sejurus kembali dari Sabah pada 26 September lalu, beliau telah menjalani ujian saringan pertama dan didapati negatif. Walaupun tiada sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk kuarantin atau pengasingan, Nor Hayati telah mengambil inisiatif kuarantin kendiri di rumah dan mengasingkan diri,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ADUN Maharani itu menjalani saringan kedua pada 4 Oktober dan menyambung pengasingan kendiri hingga keputusan ujian diketahui semalam.

Pejabat kesihatan daerah dalam proses mengenal pasti kontak rapat ADUN berkenaan selain menjalankan ujian saringan ke atas mereka yang telah dikenal pasti setakat ini, demikian menurut kenyataan itu.

“Pihak kami memohon maaf kepada semua yang terkesan walaupun segala langkah kuarantin di rumah dan pencegahan telah dipatuhi sepanjang tempoh ini,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button