Berita Utama

Ambil iktibar PRN Sabah, negara belum bersedia PRU15

Ada yang penting diri tak kuarantin, orang sekeliling terima akibat

BANGI, 18 Safar 1442H, Selasa – Meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan satu-satunya penyebab peningkatan jangkitan COVID-19, namun tidak boleh dinafikan terdapat penularan kes disebabkan mereka yang terbabit dengan pilihan raya berkenaan.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, mengadakan pilihan raya apatah lagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat, hanya akan mengundang pelbagai risiko.

Walaupun garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kempen dan proses pengundian ditetapkan, namun bahayanya tetap ada.

Tambahan pula, kos perbelanjaan untuk PRU15 juga antara yang perlu diambil kira, lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang berhadapan bebanan kewangan yang wujud disebabkan pandemik ini.

“Tekanan kewangan yang wujud akibat pandemik ini menuntut perbelanjaan yang lebih berhemah. Peruntukan perlu disalurkan antaranya menjaga kebajikan rakyat dan merancakkan kembali aktiviti ekonomi domestik negara,” katanya seperti dilapor Bernama.

Sementara itu, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, peningkatan kes COVID-19 ketika ini menunjukkan negara ‘belum bersedia’ untuk berhadapan PRU15.

Katanya, penjarakan fizikal dan mengelakkan bersentuhan antara satu sama lain adalah perkara yang amat sukar untuk dilakukan terutama ketika menjalankan aktiviti kempen pilihan raya.

“Masyarakat harus mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada PRN Sabah baru-baru ini. Bukan sahaja mereka yang terlibat berkempen yang dijangkiti pandemik ini, bahkan ahli keluarga terdekat dan orang sekeliling turut menerima akibat.

“…terutama apabila terdapat golongan yang mementingkan diri dan tidak melaksanakan kuarantin kendiri.

“Maka, PRU15 wajar ditangguhkan ke suatu tarikh yang ketika itu negara dan keselamatan rakyat dapat dipastikan dalam keadaan baik dan terkawal daripada krisis pandemik Covid-19,” tegasnya.

Semalam, Malaysia mencatat sebanyak 432 kes baharu COVID-19 (429 kes penularan tempatan dan 3 kes import), angka tertinggi sejak wabak koronavirus itu melanda negara ini. Jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September setakat ini sebanyak 235 kes.

Untuk rekod, kes baharu COVID-19 semakin ketara tinggi sejak beberapa hari lalu – 293 kes (4 Oktober), 317 kes (3 Oktober), 287 kes (2 Oktober), 260 kes (1 Oktober).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button