Berita Utama

Bekalan air pulih bermula esok

Pengguna dinasihat guna air secara berhemat

KUALA LUMPUR, 18 Safar 1442H, Selasa – Bekalan air di semua 274 kawasan terjejas dijangka pulih secara berperingkat bermula esok sehingga 6 petang Jumaat, selepas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA) memulakan operasinya pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, pada masa ini proses penstabilan rawatan air sedang dijalankan, sebelum mula diagihkan kepada pengguna terawal mulai pukul 12.00 tengah malam ini.

“Pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama, kumpulan pertama merangkumi 145 kawasan yang akan menerima bekalan air sepenuhnya, menjelang pukul 6.00 petang esok.

“Kumpulan kedua merangkumi 91 kawasan pada jam 6 petang Khamis ini, manakala kumpulan ketiga merangkumi 38 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya pada jam 6 petang, Jumaat ini,” katanya pada sidang media status Loji Rawatan Air Semenyih dan Gangguan Bekalan Air di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya di Ibu Pejabat Air Selangor di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain Suhaimi berkata, setakat terkini sampel air yang diambil dari LRA Bukit Tampoi masih berada pada tahap 3 TON dan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan.

“Pengguna dinasihat untuk menggunakan air secara berhemat, bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan pada 4.30 petang semalam.

Pengguna di kawasan yang terjejas disaran untuk merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com, untuk mendapatkan jadual pemulihan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button