Berita Utama

Keputusan PAS ‘berkawan’ Bersatu bukan kesilapan

Dibuat berteraskan ketetapan harus memilih kelompok tertentu

BANGI, 15 Muharam 1444H, Sabtu – PAS menyifatkan tindakan ‘berkawan’ dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN) bukan kesilapan namun dibuat selepas mengambil kira penyatuan ummah.

Malah, ia dibuat kerana berteraskan kepada ketetapan harus memilih satu-satu kelompok tertentu sahaja.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim menjelaskan, parti itu sentiasa istiqomah dalam soal menyatukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Mana-mana orang Melayu dan Islam yang merupakan majoriti besar dalam Malaysia perlu disatukan untuk membolehkan teras dalam membentuk masyarakat bersatu padu dapat dilaksanakan.

“Bagaimana kita hendak mewujudkan sebuah kerajaan yang betul-betul kuat, kalau penyatuan itu hanya melibatkan peratus yang sedikit sedangkan tunjang kepada kekuatan adalah penyatuan rakyat.

“Kerana itu PAS tetap berpegang dalam soal menyatupadukan rakyat kita tidak boleh mengehadkan kerjasama contohnya dengan UMNO sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang melihat PAS sebagai tersilap langkah apabila memilih untuk ‘berkawan’ dengan Bersatu dan bukan dengan UMNO.

Khairuddin menyifatkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sebagai ‘parti kecil’ .

Bagaimanapun, Ahmad Amzad menjelaskan, PAS mengajak pihak-pihak yang mempunyai keikhlasan untuk bersatu, termasuk juga dalam kalangan orang bukan Melayu dan Islam yang tidak mempunyai pendirian ekstrem.

“Ramai kawan-kawan PAS dalam kalangan bukan Melayu serta Islam yang tidak ekstrem serta menghormati kedudukan Islam dan keistimewaan orang Melayu dalam negara ini.

“Jadi kita bersatulah. Kenapa perlu mengehadkan penyatuan kerana lebih baik kita berkawan dengan semua pihak,” katanya.

Beliau pada masa sama menegaskan Islam sendiri mengajar supaya umat Islam meramaikan kawan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button