Berita Utama

Harap Belanjawan 2021 bantu kurangkan kadar pengangguran

Syor kerajaan perkasa teknologi digital dalam sektor awam, swasta

BANGI, 18 Safar 1442H, Selasa – Kerajaan disaran untuk terus memperkasa penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam kalangan sektor awam serta swasta, sebagai usaha mendepani pandemik COVID-19.

Pensyarah Kanan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, Suhana Mohamed berkata, langkah itu perlu bagi memastikan Malaysia kekal menjana pertumbuhan ekonomi yang positif.

Katanya, rakyat mengharapkan peruntukan hampir RM1 bilion untuk mendorong penerapan teknologi dan digital oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), akan terus memupuk inovasi melalui modal teroka baharu.

“Usaha ini sebagai galakan kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penekanan pada transformasi digital.

“Memasuki Oktober, sudah pasti semua cadangan dikemukakan rakyat dan golongan berkepentingan dalam membantu kerajaan merangka Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sudah pun diteliti dan berada dalam radar pemerhatian Kementerian Kewangan dan kerajaan,” katanya.

Menulis di Berita Harian (BH) hari ini, Suhana berkata, penularan wabak pandemik COVID-19 menyebabkan kesan ekonomi terburuk dalam tempoh 100 tahun.

“Kita turut menyaksikan pada suku pertama 2020, Malaysia hanya mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 0.7 peratus.

“Pelbagai inisiatif fiskal dan intervensi monetari digerakkan meliputi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Jana semula Ekonomi Rakyat (PENJANA),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, realiti sebenar pemulihan bakal diketahui Oktober ini, memandangkan tempoh moratorium pembiayaan kewangan dan insentif kemudahan i-Lestari akan berakhir.

“Namun, apa yang diharapkan melalui Belanjawan 2021 supaya kerajaan dapat membantu dalam mengurangkan kadar pengangguran dan pekerja tempatan mendapat semula peluang pekerjaan.

“Pastinya, inisiatif seperti pemberian subsidi upah, insentif pengekalan pekerja dan latihan semula, selain galakan dan insentif terhadap aktiviti perniagaan e-dagang dan ekonomi gig amat diperlukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button