Berita Utama

Kerajaan buat silap tak wajibkan kuarantin dari awal

Padah bila tak ambil pengajaran daripada kes kluster PUI Sivaganga

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Safar 1442H, Selasa – Tindakan kerajaan tidak mewajibkan mana-mana individu yang pulang daripada Sabah menjalani kuarantin selama 14 hari, sebelum 27 September lalu adalah kesilapan, kerana ia antara punca jangkitan COVID-19 merebak di Semenanjung. 

Pemerhati politik, Budiyanto Unggun berkata, kerajaan tidak mengambil pengajaran daripada kes kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivaganga yang mana pencetusnya hanya menjalankan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas pulang dari India, 13 Julai lalu.

Ekoran tidak perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin, individu berkenaan bertindak melanggar perintah dan seterusnya mengakibatkan sekurang-kurangnya 45 individu positif COVID-19 membabitkan kes di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Justeru, Budiyanto berkata, kerajaan bagaikan melakukan kesilapan kali kedua apabila bertegas tidak mewajibkan sebarang kuarantin pada mereka yang pulang dari Sabah dan juga yang berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Jika kerajaan buat keputusan untuk kuarantin wajib pada awal PRN diumumkan, pasti kes tidak akan setinggi yang dicatatkan hari ini.

“Rakyat minta kerajaan buat kuarantin wajib, menteri tak layan, masih lagi nak cuba meyakinkan rakyat bahawa keadaan terkawal.

“Ini selepas selesai keputusan PRN, keesokannya itu baru nak umum rakyat yang pulang dari Sabah wajib melakukan kuarantin kendiri. Seolah-olah nak biar habis PRN dahulu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan kerajaan disifatkan sebagai mengecewakan rakyat kerana kes dari kawasan berisiko saban hari makin meningkat.

“Di Selangor sahaja, daripada 39 yang positif,  17 individu datang dari kawasan berisiko tinggi. Tidak mustahil Selangor nanti terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bahkan Perintah Kawalan Pergerakan Diketatkan (PKPD) jika kes lebih 41,” katanya.

Penularan COVID-19 dalam negara terus merekodkan angka tertinggi dengan 691 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 13,504 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 2,936 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 691 kes baharu dilaporkan itu, penularan tempatan merekodkan 688 kes, selebihnya tiga kes import.

Penularan COVID-19 dalam negara tertinggi direkodkan di Kedah (397 kes) diikuti Sabah (219 kes) dan Selangor (38 kes).

Sementara di negeri lain, antaranya Perak (8 kes), Negeri Sembilan (7 kes), Johor (6 kes), Kuala Lumpur (4 kes), Sarawak (3 kes), Pulau Pinang (3 kes), Terengganu (1 kes), Putrajaya (1 kes) dan Labuan (1 kes).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button