Berita Utama

Lelaki Pakistan didenda RM6,000 ingkar arahan kuarantin

Beri kerjasama kepada usaha kerajaan bendung penularan COVID-19

BANGI, 18 Safar 1442H, Selasa – Seorang lelaki warganegara Pakistan dikenakan denda RM6,000 kerana ingkar arahan kuarantin selama 14 hari di rumah seperti yang ditetapkan.

Pengusaha kedai runcit berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Puteh pada 4 Oktober lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan lelaki terbabit melanggar arahan proses kuarantin adalah menyalahi undang-undang.

“Mana-mana individu yang diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah selepas menjalani saringan COVID-19, perlu patuh sepenuhnya kepada arahan ini bagi mengawal perebakan jangkitan virus kepada orang lain.

“Kegagalan mematuhi arahan yang diperintahkan boleh membawa kepada denda dan hukuman penjara sepertimana ditetapkan,” katanya.

Justeru, jabatan itu meminta orang ramai memberikan kerjasama sepenuhnya kepada usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19.

“Sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter, kerap mencuci tangan dengan air serta sabun dan patuhi kuarantin yang ditetapkan jika diarahkan berbuat demikian,” katanya.

Setakat semalam, negara merekodkan 432 kes baharu – kes harian paling tinggi – dengan 429 kes adalah jangkitan tempatan sementara tiga lagi kes import.

Daripada jumlah itu, Kedah mencatatkan kes tertinggi dengan 241, diikuti Sabah (130 kes), Selangor (34 kes), Terengganu dan Kuala Lumpur (lima kes), sementara beberapa negeri lain antara empat hingga satu kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button