Rakyat Terengganu disaran solat hajat malam ini
Mohon kesejahteraan negara elak penularan wabak COVID-19

KUALA TERENGGANU, 18 Safar 1442H, Selasa – Seluruh rakyat Terengganu disarankan untuk melaksanakan solat hajat secara serentak malam ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Solat hajat berkenaan boleh diadakan seusai solat Isyak, pada malam ini di kediaman masing-masing.
Beliau memetik hadis Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain, bahawa baginda bersabda yang bermaksud, “Tidak boleh ditolak ketetapan Allah Taala melainkan doa.”
Membawa seruan yang sama, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), berkata, selain daripada mengambil langkah mencegah dan merawat sebagaimana pekeliling dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahupun antarabangsa, pihaknya mengajak rakyat memohon pertolongan daripada Allah SWT melalui solat dan bermunajat.
“Kami menyeru umat Islam di negara ini khususnya di Terengganu untuk mengadakan solat hajat di rumah masing-masing pada hari ini, selepas solat Isyak bagi memohon kesejahteraan negara daripada penularan wabak COVID-19.
“Firman Allah SWT: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan bersabar dan mengerjakan sembahyang (munajat); dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. – Surah Al Baqarah: 45.”