Dunia

‘Tak mampu bayar kos rawatan, lebih rela kuarantin di rumah’

Perang saudara jejaskan ekonomi, himpit rakyat dalam kemiskinan

DAMSYIK, 18 Safar 1442H, Selasa – Keletihan, demam dan tiada deria rasa serta bau. Semua gejala jangkitan COVID-19 ada, tetapi kebanyakan rakyat Syria enggan melakukan ujian saringan dan mendapatkan rawatan di hospital. 

Kebanyakan rakyat di negara itu lebih mempertimbangkan kemampuan mereka untuk mendapatkan rawatan di hospital berbanding bahaya jangkitan wabak berkenaan. 

“Saya takut dikuarantin dan tidak mendapat rawatan perubatan yang sewajarnya,” kata Ahmed, 20, sebagai merujuk kemudahan perubatan yang dikendalikan kerajaan Syria.

Ahmad berkata, dia hanya mengurung diri di bilik dan meminta nasihat perubatan di Facebook serta berunding melalui telefon dengan doktor tempatan.

“Saya tidak mampu ke hospital,” katanya yang menjelaskan bahawa kos itu menelan belanja AS$246, lebih tinggi daripada gaji bulanannya. 

Kebimbangan Ahmad itu diperakui sendiri oleh kakitangan perubatan negara itu, susulan konflik yang berlaku sehingga meruntuhkam sistem kesihatan dan ekonomi.

Salah seorang doktor di hospital Damsyik berkata, kekurangan alat peralatan pesakit kronik dan kemudahan kuarantin, menyebabkan kebanyakan rakyat tidak melaporkan gejala berkaitan wabak itu. 

“Orang lebih suka mati di rumah daripada datang ke hospital,” katanya. 

Doktor yang tidak dinamakan itu berkata, dia sering dihubungi oleh orang ramai yang meminta nasihat perubatan tetapi tidak dapat memakai alat pelindungan untuk melawat mereka secara langsung. 

“Topeng yang berkualiti tinggi dan harus ditukar setiap hari berharga kira-kira 5,000 paun Syria (AS$10).

“Harganya juga agak mahal dan saya memerlukannya untuk kuantiti banyak. Boleh bayangkan doktor tak mampu beli pelitup muka yang bagus,” katanya yang hanya dibayar gaji sebagai doktor sebanyak AS$188 sebulan.

Data rasmi merekodkan jumlah jangkitan COVID-19 di Syria kini meningkat kepada 4,366 dengan 205 kematian, namun pakar kesihatan menjangkakan ia jauh lebih tinggi daripada angka yang dinyatakan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button