Berita Utama

17 Taska YPKT di Terengganu ditutup seminggu, libat 1,507 kanak-kanak

Langkah awal kerajaan negeri cegah penularan pandemik COVID-19

KUALA TERENGGANU, 19 Safar 1442H, Rabu – Sebanyak 17 taman asuhan kanak-kanak (Taska) Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang melibatkan 1,507 kanak-kanak, ditutup seminggu bermula hari ini hingga Selasa 13 Oktober, sebagai langkah awal kerajaan negeri dalam mencegah penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata, penutupan itu bagi melancarkan lagi proses disinfeksi dan nyahkuman di presmis terbabit yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

“Ini kerana terdapat beberapa individu di 17 taska itu yang pernah berhubung dengan kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

“Penutupan ini adalah langkah pencegahan awal untuk menghentikan penularannya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tujuh daripada 17 taska itu di daerah Kuala Nerus melibatkan 527 kanak-kanak; empat di Kuala Terengganu (635 kanak-kanak); dua di Marang (141 kanak-kanak); dua di Besut (109 kanak-kanak); dan masing-masing satu di Hulu Terengganu (60 kanak-kanak) dan Dungun (35 kanak-kanak).

Kesemua taska akan kembali beroperasi pada 14 Oktober, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button