Berita Utama

34 manuskrip Melayu abad ke-17 ditemui

Penyelidik etnomatematik yakin mampu tingkatkan minat pelajar STEM

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Sebanyak 34 manuskrip Melayu berkaitan penyelidikan Sains dan Matematik pada abad ke-17 ditemui sekumpulan penyelidik etnomatematik negara.

Pengarah Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Muhammad Rezal Kamel Ariffin berkata, penemuan itu diyakini dapat membantu menambah baik sistem pendidikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)

Katanya, semua manuskrip itu ditemui di Aceh, Indonesia dan Champa, Kemboja, selain beberapa tempat di negara ini yang kini disimpan secara digital di institut berkenaan.

Beliau memaklumkan, pihaknya kini dalam peringkat transliterasi manuskrip itu sebelum membawa penemuan berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk dimasukkan ke dalam pengajaran STEM.

“Dalam misi ini, kita menemui penyelidikan sains dan matematik tamadun Melayu yang tersorok dalam lipatan manuskrip ditulis kira-kira tahun 1,600 Masihi.

“Penemuan ini penting kerana melalui etnomatematik, ia mampu meningkatkan jati diri kerana kita lebih memahami mengenai susur galur mengenai ilmu sains dan matematik dalam tamadun kita sendiri,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Prof Muhammad Rezal menjelaskan, etnomatematik ialah bidang kajian matematik yang lahir melalui budaya dan etnik sesuatu kaum dengan penyelidikan mengenainya mula dikesan di negara ini pada akhir tahun 1980-an.

“Kita menjangka penemuan ini mampu meningkatkan minat pelajar STEM kerana mereka tahu susur galur ilmu ini melalui tamadun Melayu,” katanya.

Sehingga kini, projek penyelidikan manuskrip itu disertai beberapa ahli akademi termasuk Felo Penyelidik Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain; Pensyarah Kanan Jabatan Matematik, Fakulti Sains Matematik, Prof Madya Dr Sharifah Kartini Said Husain dan Pegawai Sains INSPEM, Mohd Rohaizat Abdul Wahab.

Prof Muhammad Rezal berkata, pihaknya mengalu-alukan pembabitan penyelidik tempatan untuk mengkaji keupayaan sains dan matematik Melayu ini untuk memperhebat jati diri bangsa.

“Sehingga kini, kita berdepan cabaran untuk proses transliterasi manuskrip berkenaan kerana ia ditulis dalam tulisan Jawi lama dan kita mahu lebih ramai penyelidik terbabit dan INSPEM akan menyediakan dana serta khidmat nasihat.

“Kita bertanggungjawab membuat pembetulan terhadap risiko jati diri yang mungkin mudah goyah atau terikut dengan budaya lain, jika kita tidak mengenali susur galur sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button