Bekalan air di 185 kawasan pulih sepenuhnya: Air Selangor
89 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan
KUALA LUMPUR, 19 Safar 1442H, Rabu – Dengan loji Sungai Semenyih kembali beroperasi, sejumlah 185 dari 274 kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya, dengan peratusan pemulihan pada tahap 68 peratus sehingga 12.30 tengah hari ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, sebanyak 89 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.
“Peratusan pemulihan mengikut wilayah iaitu di Petaling mencatatkan pemulihan sebanyak 51 peratus, Hulu Langat 74 peratus, Kuala Langat 55 peratus manakala Sepang dan Putrajaya 80 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai status Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi berkata, berdasarkan ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk, bacaan 0 TON dicatatkan tiga kali berturut-turut bermula jam 8 pagi ini.
“Oleh itu pam air mentah di LRA itu telah mula beroperasi pada pukul 9.45 pagi untuk kerja-kerja pembersihan paip air mentah dan tangki-tangki rawatan air.
“LRA Bukit Tampoi dijangka dapat membekalkan air kepada para pengguna dalam tempoh 8 jam, iaitu pada pukul 8 malam,” katanya.
Elina berkata, pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah, bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.
Air Selangor menyarankan para pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran komunikasi rasmi Air Selangor, dengan merujuk aplikasi Air Selangor, media sosial Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.
Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad, apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah. -Bernama