Berita Utama

Bekalan air di 238 kawasan pulih sepenuhnya: Air Selangor

Sebanyak 36 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan

KUALA LUMPUR, 19 Safar 1442H, Rabu – Sebanyak 238 daripada 274 kawasan terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi, telah menerima bekalan air sepenuhnya, dengan peratusan pemulihan pada tahap 87 peratus sehingga 6 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri memaklumkan dalam kenyataan hari ini, sebanyak 36 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

“Peratusan pemulihan mengikut wilayah iaitu di Petaling mencatatkan 73 peratus, Hulu Langat 88 peratus, Kuala Langat 79 peratus manakala Sepang dan Putrajaya 99 peratus.

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan yang masih terjejas,” katanya.

Air Selangor menyarankan pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran komunikasi rasmi Air Selangor dengan merujuk aplikasi Air Selangor, media sosial Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad, apabila LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button